Rasulullah
SAW bersabda : “Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa
billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling
ringan adalah kebimbangan”. (Hadis Riwayat Tabrani)
Hadis
ini adalah riwayat at-Tabarani dalam al-Awsath dan al-Hakim yang
berbunyi: “Man Qala La Haula wala Quwwata Illa Billahi Kana dawa’an min
tis’atin wa tis’iina da’in, aisaruha al-Hammu” dan maksudnya adalah
seperti di atas.
Intipati
hadis tersebut adalah umat Islam digalakkan untuk tabah dan berusaha
merawat penyakit asalkan mengikut peraturan agama. Penyakit yang
dimaksudkan itu ada terkandung dalam beberapa ayat al-Quran dan hadis
Rasulullah SAW.
Daripada
Anas, bahawa Rasulullah SAW berdoa dengan doa: “Allahumma innii ‘auuzhu
bika minal barashi wal junuuni wal-juzaami wa sayyi’il asqaam (yang
bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari
penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit-penyakit yang berat).”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Begitu
juga hadis riwayat Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa:
“Allahuamma Inni a’uuzu bika minal hammi wal hazan, wa ‘auuzhubika minal
‘ajzhi wal kasal, wa’auuzhu bika minal Jubni wal-Bukhl, wa’uuzhubika
min ghalabatid daini wa qahrir rijaal (yang bermaksud: “Ya Allah, saya
berlindung kepada-Mu daripada penyakit gelisah dan dukacita, aku
berlindung kepada-Mu daripada penyakit lemah dan malas, aku berlindung
kepada-Mu daripada pengecut dan bakhil dan aku berlindung kepada-Mu
daripada timbunan hutang dan penindasan orang.”
Apa
yang penting pada hadis berkenaan ialah untuk menyatakan kelebihan dan
manfaat besar kepada orang yang banyak menyebut ‘La Haula Wala Quwwata
Illa Billah’. Maksudnya tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu
kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT.
Ucapan
itu dinamakan Hauqalah. Apabila kita ditimpa sesuatu yang kita tidak
sukai, banyakkan menyebut hauqalah. Imam a-Nawawi berkata: “La haula wa
la quwwata illa billah”, itulah kalimah yang digunakan untuk menyerah
diri dan menyatakan bahawa kita tidak mempunyai hak untuk memiliki
sesuatu urusan. Ia kalimah yang menyatakan bahawa seseorang hamba tiada
mempunyai daya upaya untuk menolak sesuatu kejahatan (kemudaratan) dan
tiada mempunyai daya kekuatan untuk mendatangkan kebaikan kepada dirinya
melainkan dengan kudrat iradat Allah SWT juga.
Dalam sebuah hadis menyebut daripada Abu Zar, beliau berkata: “Aku berjalan di belakang Rasulullah SAW, lalu Baginda
berkata kepadaku: “Wahai Abu Zar, mahukah aku tunjukkan kepada kamu
satu perbendaharaan daripada beberapa perbendaharaan syurga? Aku
berkata: Mahu ya Rasulullah. Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata
illa billah.”
Begitu
juga hadis daripada Abu Musa, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda
kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan salah satu perbendaharaan dari
perbendaharaan syurga? Saya menjawab: “Mahu ya Rasulullah. Kemudian
Baginda bersabda: La haula wala quwwata illa billah.”
Daripada
Ibnu Mas’ud beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Wahai Muaz,
adakah kamu tahu tafsir (maksud) La haula wala quwwata illa billah? Muaz
menjawab: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Rasulullah SAW
bersabda: La haula (tiada daya) dari menghindari maksiat kepada Allah
melainkan dengan kekuatan Allah, wala quwwata (tiada kekuatan) atas
mentaati Allah melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Kemudian
Rasulullah SAW menepuk bahu Muaz dan Baginda bersabda: “Demikianlah yang
diberitahu oleh kekasihku Jibril daripada Tuhan.”
Sebenarnya
apabila kita banyak menyebut Allah SWT atau berzikir mengingati-Nya
sebanyak-banyaknya, ia mampu menjadi penyembuh, tetapi sekiranya kita
banyak ingat kepada manusia ia boleh menjadi penyakit.
0 komentar:
Posting Komentar